Pendahuluan

Peristiwa rusuhan kaum/etnik pada 13 Mei 1969 telah
mengganggugugat keamanan dan kestabilan negara pada ketika
itu dan tindakan serta merta telah diambil untuk mengisytiharkan
darurat di seluruh negara. Dengan pengisytiharan tersebut, sistem
kerajaan berparlimen telah digantung dan seterusnya Majlis
Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan untuk
mengembalikan keamanan, menegakkan semula undang‐undang
negara serta memupuk suasana harmoni dan percaya mempercayai
di kalangan rakyat.


Berikutan dengan peristiwa itu juga, MAGERAN telah
menubuhkan Majlis Perundingan Negara di bawah Peraturan‐
Peraturan Perlu Majlis Perundingan 1970 yang berfungsi untuk
membincangkan serta meneliti isu‐isu perpaduan nasional dan
mencari jalan bagi menyelesaikan masalah‐masalah berkaitan
dengan hubungan antara kaum. Melalui beberapa perbincangan
dan mesyuarat, Majlis Perundingan Negara telah memutuskan
bahawa Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum
memerlukan satu ideologi negara yang boleh diamalkan oleh
seluruh rakyat ke arah membentuk sebuah negara yang bersatu
padu. Berdasarkan kepada keputusan tersebut, maka terbentuklah
Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka
Baginda Yang di‐Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 menjadi
pegangan, panduan dan amalan oleh seluruh rakyat Malaysia ke
arah pemupukan dan pengukuhan semangat perpaduan, ketaatan
dan kecintaan kepada bangsa dan negara.


Dalam usaha menyuntik kesedaran dan penghayatan murid‐murid
mengenai prinsip‐prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara,
maka Kelab Rukun Negara yang telah diperkenalkan di sekolahsekolah
dan di Institusi Pengajian Tingggi (IPT) dimantapkan dan
diperkukuhkan lagi selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah
Menteri pada 11 Ogos 2004.


Bagi mencapai matlamat untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu
padu selaras dengan wawasan negara, penubuhan Kelab Rukun Negara
akan menjadi pemangkin kepada proses untuk mencapai perpaduan yang
unggul di negara ini. Justeru, peranan Kelab Rukun Negara dari semasa
ke semasa akan diperkemas dan diperkukuhkan lagi supaya pencapaian
matlamat tersebut dapat direalisasikan. Pengetahuan, pemahaman,
penghayatan dan pengamalan (4P) terhadap falsafah Rukun Negara perlu
dipertingkatkan terutamanya di kalangan murid untuk menjadikan
mereka sebagai rakyat yang lebih bertanggungjawab dan prihatin dalam
sebuah negara majmuk. Bagi mencapai matlamat ini, Jabatan Perpaduan
Negara akan mewujudkan kerjasama erat dan berterusan dengan
Kementerian Pelajaran Malaysia.