Latar Belakang Penubuhan


Penubuhan Kelab Rukun Negara (KRN) ini telah diilham dan
disarankan oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad
Badawi (ketika itu selaku Timbalan Perdana Menteri) semasa
merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan
2000 di Melaka. Malah sebelum itu, ketika merasmikan Hari
Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau telah
menyeru agar seluruh rakyat Malaysia sentiasa berpegang kepada
prinsip‐prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan
kemakmuran negara terus berkekalan. Menerusi Kelab Rukun
Negara ini, para pelajar akan didedahkan mengenai prinsip‐prinsip
tersebut supaya mereka benar‐benar dapat memahami serta
menghayatinya agar dapat diamal dan dijadikan budaya hidup
seharian.


Selaras dengan saranan tersebut, pihak Kementerian Pendidikan
pada masa itu telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Kelab
Rukun Negara di sekolah‐sekolah menengah seluruh negara.
Inisiatif ini dilaksanakan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8
17/2000: Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah‐sekolah
bertarikh 16 November 2000 kepada semua Pengarah Pendidikan
Negeri. Walau bagaimanapun, sejak Kelab Rukun Negara
ditubuhkan, tiada sebarang garis panduan yang terperinci
dikeluarkan untuk dijadikan sebagai panduan pengurusan dan
pengisian program serta aktiviti yang dilaksanakan oleh kelab ini.


Atas kesedaran untuk mengukuhkan perhubungan kaum dan
meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap prinsip‐prinsip
Rukun Negara, maka Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi
Nasional, Jabatan Perdana Menteri (JPNIN, JPM) telah
dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan kerjasama erat
dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian
Pengajian Tinggi bagi tujuan tersebut (Keputusan Mesyuarat
Jemaah Menteri bertarikh 11 Ogos 2004).